Cuba anda lihat pada pergelangan tangan
anda sekarang. Adakah terdapat sebarang benjolan keras seperti guli? Ia
biasanya lebih jelas kelihatan apabila anda bengkokkan pergelangan
tangan anda.
Benjolan seperti guli ini mungkin adalah
Ganglion. Ia adalah ketumbuhan tisu yang paling kerap terjadi pada
sendi ini. 70 peratus daripada ganglion terjadi pada bahagian belakang (dorsum) pergelangan tangan iaitu ia muncul dari sendi scapholunate manakala bakinya pada bahagian permukaan depan (volar) dari sendi radiocarpal dan scaphotrapezial. Adakalanya ia terlalu kecil sehinggakan cuma boleh dilihat apabila pesakit membengkokkan pergelangan tangan.
Kandungan benjolan ini adalah campuran cecair sendi iaitu glucosamine, albumin, globulin dan Hyaluronic acid.
Simptom Pesakit
Kesan tekanan atau pressure effect
akan mengakibatkan sebahagian pesakit akan mengadu ketidakselesaan
akibat kehadiran ganglion ini apabila mereka hendak melakukan aktiviti
menggunakan tangan. Kadangkala ganglion ini boleh menekan saraf yang
berhampiran menyebabkan rasa kebas. Walaubagaimanapun, ia adalah tidak
membahaya dan tiada risiko untuk berubah menjadi kanser.
Kenapa ia terjadi?
Ganglion terbentuk akibat kelemahan pada lapisan tisu yang melapisi sendi sehingga cecair synovial
menolaknya keluar dan membentuk benjolan ini. Ia boleh terjadi pada
mana-mana sendi namun lebih kerap terjadi pada pergelangan tangan.
Terdapat 2 teori iaitu Teori Trauma dan Teori Keradangan (inflammation)
yang cuba menjelaskan kenapa kelemahan tisu ini berlaku namun jawapan
sebenarnya masih kekal misteri.
Dapatkan Pemeriksaan Segera
Secara peribadi, saya berpendapat anda
perlu segera berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang benjolan atau
kebengkakkan pada mana-mana anggota badan anda. Kita perlu pastikan
bahawa ianya adalah sesuatu yang tidak bahaya. Selain daripada Ganglion,
kebengkakan atau benjolan boleh disebabkan oleh ketumbuhan lain seperti
Lipoma (ketumbuhan sel lemak), Sebaceous cyst (benjolan kelenjar peluh)
ataupun Abscess (nanah).
Siasatan
Diagnosis Ganglion ini dibuat
berdasarkan pemeriksaan klinikal. Secara umumnya anda tidak perlu
menjalani imbasan X-ray. Sekiranya pembedahan diperlukan, darah mungkin
perlu diambil sebelum anda dilihat oleh doktor bius.
Rawatan
- Tanpa Pembedahan – Ganglion yang tidak menimbulkan sebarang masalah
boleh dibiarkan sahaja tanpa menjalani apa-apa prosedur atau pembedahan.
- Disedut keluar (Aspiration) – Risiko bagi ganglion tersebut kembali terjadi adalah tinggi iaitu 50 peratus.
- Pembedahan – Pembedahan dilakukan sekiranya ia menimbulkan masalah
seperti sakit, kebas atau pesakit meminta ia dibuang atas sebab kosmetik
dan sebagainya. Kebarangkalian ia kembali terjadi adalah lebih rendah
iaitu 15-20 peratus. Selepas anda dibius, ganglion ini akan dibuang
melalui satu torehan pada kulit. Prosedur ini boleh dijalankan secara
Daycare (boleh balik pada hari yang sama selepas pembedahan) bergantung
kepada kriteria-kriteria tertentu.
Pemeriksaan oleh doktor
Sekiranya anda mempunyai masalah ini,
segeralah berjumpa doktor bagi memastikan masalah yang sebenarnya.
Adakalanya kedudukan benjolan adalah begitu hampir dengan saraf dan
salur darah dan perancangan teliti perlu dilakukan sebelum pembedahan
dilakukan. Doktor akan melakukan pemeriksaan ke atas anda dan berbicang
rawatan yang terbaik bersama-sama anda.
Artikel ini ditulis oleh salah
seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang
pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali
beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan
- Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller, page 84
- Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009, P302
CREDIT TO : http://www.mmgazette.com